Balada Kami Pekerja Marhaen
Kami bangun pagi seawal dinihari. Usai membersihkan diri dan menyucikan rohani, kami menuju ke lubuk rezeki. Meninggalkan anak-anak yang masih lena diulit mimpi. Rasa tak sampai hati, tapi ayah dan emak perlu mencari rezeki.
Kami mula menuju ke destinasi. Yang berkereta menempuh kesesakkan lalu-lintas pagi. Yang bermotorsikal menyelit di celah-celah kenderaan gergasi. Yang menaiki pengangkutan awam berasak-asak di dalam bas dan LRT. Tergesa-gesa, rasa tak selesa hanya di simpan dalam hati.
Kami menarik nafas lega jika sempat sampai pejabat sebelum waktu. Mungkin masih sempat mengalas perut bersama rakan-rakan sekutu. Itu pun masih tak tentu. Selambak tugasan telah menunggu. Tak perlu pun buat list-to-do!
Kadang-kala kami tersalah mengatur waktu. Atau ada perkara lain yang perlu dibantu. Menyebabkan kami lewat sampai ke muka pintu. Bersiap-sedia untuk merayu. Dalam hati menyumpah dan menggerutu, "Mengapa saya tidak keluar 10 minit lebih awal pada pagi itu?!"
Kami menuju ke meja masing-masing. Menghidupkan semula PC, printer dan segala mesin. Menghadap in/out tray dan kami mula mengasing. Kerja yang perlu segera, sekarang dan terpenting. Fikiran tentang keluarga dan hal-hal lain diletakkan di tempat terasing.
Kami menumpukan kepada pekerjaan. Minit mesyuarat, maklum balas dan laporan. Sesekali melayan emel dan panggilan pelanggan. Ada yang berhemah, ada juga yang menguji kesabaran. Dalam hati kami rasa menyampah, malas nak layan. Teringat pula pada slogan - "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". Terpaksalah teruskan, walaupun dalam hati tertekan!
Kami ini pekerja marhaen. Ada kakitangan sokongan ada pula pihak atasan. Kedua-dua pun mahukan prihatin dan perhatian. Silap percakapan atau perbuatan, kerjaya sendiri jadi percaturan. Sebab itulah kami selalu tertekan, yang dibawah lambat buat tindakan, yang di atas kadang-kala sukar nak buat keputusan. Kami tersangkut di pertengahan. Nak go ahead atau 'gostan'? Kalau biarkan dormant, kami juga yang kena ligan!
Kami pekerja marhaen juga ada maruah dan jati diri. Pedih telinga apalagi hati. Bila acapkali dijerit dan dimarah sesuka hati. Pedihnya ibarat ditusuk dengan pisau belati. Lebih-lebih lagi bila ada insan lain yang memerhati. Di mana nak letak muka kami? Apa jadi pada harga diri? Terasa kerdil diri ini. Lebih lagi jika kesalahan bukan di pihak kami. Mungkin angkara mereka yang ada rasa iri. Ataupun ada perasaan tak puas hati. Lagipun di level kami ini, bukankah kami masih perlukan bimbingan dan tunjuk ajar mereka yang lebih tinggi?
Kami bekerja dengan kuat. Tapi kami juga perlukan rehat. Waktu makan atau pun selepas waktu pejabat. Banyak lagi perkara yang kami perlu buat. Kadang-kala kami berdosa terlepas waktu solat. Terlalu sibuk dengan perbincangan dan juga mesyuarat. Semua nak cepat tak menyempat-nyempat. Seolah-olah esok dunia nak kiamat! Kami juga yang tak sempat bertaubat!
Kami pekerja marhaen sentiasa berkorban. Masa, tenaga dan juga keselamatan. Pulang lewat seolah-olah satu kemestian. Keluarga di rumah lama ditinggal-tinggalkan. Kesihatan diri selalu diabaikan. Jemputan kenduri, majlis mahupun jika ada kematian. Semuanya bukan lagi keutamaan. Hanya dapat saksikan dari Facebook teman-teman.
Bukan mengungkit atau pun membangkit. Cuma memujuk hati yang sakit. Dah lama simpan duka dan perit. Tiada yang nampak, sebab kami tidak menjerit.
~Kuala Lumpur, 19 Mac 2011~
Comments
summed up what i feel perfectly :)