Musim Raya dah Tiba
Malaysia ini memanglah bukan negara 4-musim, sebab musim kita lagi banyak daripada 4. Tak percaya? Kita ada musim durian, musim orang kahwin, musim hujan, musim banjir, musim cuti sekolah (a.k.a. musim budak-budak berkhatan), musim tak ada air, musim tanah runtuh dan banyaaak lagi. Yang paling meriah dan ditunggu-tunggu tentulah musim Raya.
Ops, entri ini bukanlah nak cerita tentang persiapan Hari Raya, melampau weh, kalau story sekarang. Puasa pun belum. Ini nak cerita tentang satu lagi Raya yang 4-5 tahun sekali dialami oleh semua di tanah tumpah yang tercinta - tak kira agama, bangsa, keturunan dan kaum yakni Pilihan RAYA.
Akhirnya teka-teki sekian lama bila Pilihan Raya terjawab awal bulan ini dan makanya perang bendera, poster dan kempen pun bermula. Hari ini pula penamaan calon. Sana-sini dah meriah dengan pelbagai warna, lambang dan gelagat penyokong-penyokong parti.
Bila tiba musim Raya, seperti musim-musim lainnya, maka akan timbullah secara serta-merta 'pakar-pakar' dan penganalisis politik di mana-mana - kedai kopi, dalam bas/teksi/LRT atau mana-mana pengangkutan awam, pejabat dan terutama sekali di laman media sosial. Seronok juga kadang-kala baca status dan analisis mereka ni, tak kira dari pihak yang pro atau kontra.
Tapi yang tak seronoknya bila ada di kalangan 'pakar-pakar' ni yang terlalu fanatik dengan fahaman masing-masing, hinggakan dirasakannya semua yang tidak sehaluan dengannya itu, salah sama sekali. Kalau dia memang ahli politik atau calon yang bertanding tu ok lagi, tapi yang terlalu beria-ia sampaikan boleh jadi berselisih faham dan lebih teruk bergaduh (sama ada di alam maya atau alam nyata) semata-mata nak menegakkan pandangan masing-masing. Entri ini secara khusus untuk meluahkan rasa kecewa saya dengan sebilangan personaliti yang kelihatan berubah haluannya secara total dalam musim RAYA ini.
Memanglah, itu hak masing-masing nak menggunakan peluang yang ada untuk berkongsi atau menegakkan fahaman atau pandangan atau sokongan kepada parti atau individu tertentu. Tetapi tak perlulah menggunakan perkataan yang terlalu ekstrem macam nak berperang bunyinya. Macam pihak satu lagi tu musuh ketat yang telah datang menceroboh dengan menggunakan keganasan. Walhal, pilihan RAYA ini, satu proses demokrasi. Semua warga negara yang cukup syarat bukan sahaja boleh mengundi, malahan boleh bertanding pun. Kalau tak ada parti, guna tiket calon bebas. Tiada siapa yang menghalang. Jadi, apa salahnya gunakan perkataan yang lebih tertib dan bersopan, bukankah bahasa jiwa bangsa? (Tiba-tiba jadi duta DBP)
Keduanya, saya kurang berkenan dengan personaliti yang terlibat dalam bidang agama, akademik dan seumpama dengannya bila mereka pun berlebih-lebihan dalam memberikan analisa berbaur politik. Saya amat berharap walau apa pun kecenderungan mereka, biarlah kelihatan apolitical di mata masyarakat. Sekali lagi, memang itu hak mereka untuk menggunakan peluang dan pengaruh mereka untuk menegakkan apa dan siapa yang disokong, tetapi pada pendapat saya, mereka perlu mengutamakan tanggungjawab atau taraf mereka sebagai pendakwah, pendidik, penunjuk arah kepada masyarakat terlebih dahulu sebelum berpolitik (melainkan mereka itu calon bertanding). Perlu diingat, Islam itu milik semua, bukan sebilangan ahli parti tertentu sahaja. Jadi, bila tokoh-tokoh ini pun terjebak, masyarakat kita yang sebahagian besarnya masih belum matang dalam arena politik, yang masih sukar untuk membezakan fahaman politik dan agama, akan bertambah celaru dan keliru.
Dan akhir sekali, walau macam mana bijak pun kita berkata-kata, perlu diingat, semuanya tidak bermakna jika kita tak keluar mengundi pada 5 Mei 2013 nanti. Lebih teruk lagi kalau jagoan di media sosial tu, tak sempat mendaftar sebagai pemilih =p. Kalau pihak yang disokong tu tak berjaya, jangan dicari salah di sini sana. Moral of the story, melainkan kita ini orang politik, tak perlu tambah dosa mencerca di sini sana, sampai putus sahabat, putus saudara. Tiba masanya, gunakan hak kita mengundi dengan sebaik-baiknya. Peace you'all!
Comments