H.I.L.A.N.G

Semenjak dua menjak ini seolah-olahnya temanya HILANG. Bermula dengan kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 yang sehingga kini sedang dijejaki, disusuli pula dengan kes-kes kehilangan yang berlaku dalam lingkup peribadi.

Menjengah bulan April, saya 'kehilangan' sesuatu yang telah diusahakan bersama selama dua tahun. Tetapi kehilangan yang ini semestinya untuk sesuatu yang lebih baik, untuk semua pihak. Walau pun ianya bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan, malahan saya antara yang terawal mengetahui mengenai berita tersebut dan mengetuai proses penyerahan itu, namun sedikit-sebanyak emosi itu tergugat jua. Air mata ini gugur bukan kerana kesedihan, tetapi perasaan yang terusik. Mungkin kerana saya bukan sahaja akan kehilangan sesuatu yang telah menjadi my drive and motivation, malahan akan kehilangan sekumpulan rakan yang telah sama-sama mengharungi susah-payah, suka-duka, ketakutan, kegembiraan, kejayaan, kegagalan, kecemasan dan segala-gala yang berkait dengan itu. Terselit jgua rasa gembira dan bangga apabila melihat perit-jerih yang diusahakan selama ini telah mendapat perhatian, meraih kejayaan dan bakal menjadi 'sesuatu' yang lebih besar.

Oh, I'm just being sentimental...

Walau apa pun, hidup mesti diteruskan. Saya sedang menyiapkan diri untuk meneroka dan melakukan sesuatu yang baru. Keluar dari zon selesa dan terus mencabar keupayaan diri. Saya percaya inilah yang terbaik ditakdirkan oleh Yang Maha Kuasa untuk kebaikan kerjaya dan peribadi saya. I'll find a new passion. After all, life is all about change right? =)

Dalam pada saya meladeni proses itu, saya kehilangan sesuatu dalam lingkup yang lebih peribadi. Seseorang yang telah menghukum saya di media sosial, tanpa dia mengetahui duduk cerita yang sebenar. Perasaan saya ketika membaca status itu sudah tentu marah dan kecewa. Pedih sekali bait-bait yang ditulis. Saya hampir mahu menulis komen sarkastik di bawah status tersebut, tetapi syukur kerana saya masih ada batas kesabaran. Saya tidak mahu kehilangan pertimbangan dan kewarasan. Ya, saya masih dihantui rasa kecewa sehingga kini. Malahan, malam itu, antara tidur dan jaga, masih terbayang-bayang perkataan yang dilontarkan itu di fikiran saya. Saya hanya menekan butang 'Like' pada status tersebut sebagai isyarat kepadanya yang 'points taken', tetapi pada hakikatnya pada saat itu, jauh di sudut hati, saya tahu yang saya telah kehilangan lebih daripada seorang friend daripada friendlist saya. 

Cerita 'kehilangan' ini berterusan dengan kehilangan tidak dijangka pada malam Selasa, 8 April 2014 apabila kami kehilangan seorang rakan sepejabat yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Ironi sekali apa bila antara momen terakhir saya berkomunikasi dengan Allahyarham adalah ketika meminta bantuannya untuk proses penyerahan itu pada minggu sebelumnya..Al-Fatihah kepada roh Allahyarham.

Ketika menghadiri majlis bacaan Yaasin dan Tahlil untuk Arwah pagi tadi, hati saya tersentap ketika mengingatkan yang kami bersedih kerana kehilangan rakan sepejabat, sudah tentu kesedihan dan kehilangan yang teramat sangat dirasai oleh ahli keluarganya yang kehilangan suami dan bapa mereka secara tiba-tiba.

Sesungguhnya tiada yang kekal di dunia ini. Kebahagiaan, kekayaan, darjat, kemegahan, kepintaran, segala-galanya adalah sementara dan merupakan milik mutlak Allah SWT yang dipinjamkan seketika untuk kita hambaNya. Semoga cerita kehilangan ini menjadi pengajaran agar tidak terlalu leka dalam menjalani hidup di dunia yang sementara ini. DaripadaNya ia datang dan dengan kuasaNya ia akan ditarik kembali kepada pencipta yang hakiki...termasuk hayat kita di dunia ini. 

Comments