Pengajaran Seminggu yang Lalu

Sebenarnya setiap hari, setiap perjalanan baik suka atau duka yang kita lalui adalah pengajaran dalam hidup. Terpulang kepada hati dan fikiran kita sama ada hendak mengambil sebagai iktibar atau sebaliknya.

Seminggu yang lalu antara minggu yang banyak mendatangkan pengajaran dalam hidup saya. Takut terlupa, baik dikongsikan di sini untuk pengajaran kepada diri sendiri dan mungkin sedikit manfaat kepada yang membacanya....

Tentang hati 
Segalanya bermula dari hati. 
Hati yang mendorong kita untuk berperasaan dengki atau bersenang hati. 
Hati yang membawa pemikiran untuk positif atau negatif.
Hati yang menghala mata untuk melihat kebaikan atau kejelekan.
Hati kalau cantik, tindak-tanduk dan percakapan pasti molek.
Hati adalah cermin diri.
Oleh itu, jagalah hati agar sentiasa bersyukur, positif, bersangka baik dan merendah diri.
Nescaya rakan tak mengata, musuh tak mengeji.


Tentang hidup dan kepayahan
Walaupun pernah susah, kita mungkin terlupa akan sejarah itu bila dah sedikit senang.
Susah senang adalah ujian daripada Allah.
Seringkali ujian kesusahan akan membawa kita dekat dengan Allah.
Tetapi ujian kesenangan mungkin membawa kita semakin jauh dengannya.
Na'uzubilllah.
Wahai diri, selalulah selami jiwa mereka yang susah.
Semoga kita lebih bersyukur, cakap pun tak takbur.
Rasai keperitan mereka untuk mencari sesuap nasi.
Sedangkan kita mungkin banyak membuang nasi yang telah basi.
Hidup ini cukup sekadar mencari apa yang perlu.
Hitung apa yang kita ada, apa yang sebenarnya kita perlu.
Jangan dikira apa yang kita tiada, apa yang kita mahu.
Kerana jika mampu hidup tanpa perkara yang kita mahu, itu adalah nafsu.


Tentang hidup dan kematian
Lahir disambut azan, mati dihantar solat.
Antara azan dan solat, betapa singkatnya masa?
Maut itu pasti, tetapi bila?
Saat ini masih bernafas, sesaat lagi belum tentu.
Saat mendengar perkhabaran tentang kematian, berdebar jiwa.
Tapi kenapa diri, masih selalu lupa dan alpa.
Masih sibuk dengan dunia yang sementara.
Mati itu bukan pengakhiran, tetapi permulaan.
Kepada sebuah penghidupan hasil daripada seluruh pengabdian
kepada Yang Maha Esa.
Bekalan ke 'sana' sudah ada?
Hari ini dia, mungkin esok giliran kita?
Dah bersedia?



Comments