Tragedi Oktober ~ Air oh Air

Genap sebulan isu ketiadaan air di Lembah Klang yang menjejaskan pengguna di 7 daerah selama 4 hari, 'acara' ini diteruskan lagi pada lewat 4 Oktober 2020 dan kali ini melibatkan 274 kawasan dan menjejaskan 1.3 juta pengguna termasuk kawasan rumah dan tempat tinggal saya. 

Isu gangguan bekalan air tidak berjadual ini bukanlah isu baharu dan sebagai pengguna secara jujurnya saya telah berada pada satu tahap untuk tidak peduli tentang apa jua punca gangguan tersebut kerana skripnya sama ~ pencemaran sumber air oleh kilang atau penternak haram dan seumpama dengannya sehingga mengakibatkan gangguan air. Sebagai pengguna berbayar yang kami mahukan adalah kepastian bila bekalan air boleh disalurkan semula dan jaminan bahawa ianya benar-benar selamat untuk digunakan. 

Realiti apabila ketiadaan air ~ hidup masih perlu diteruskan. Kami masih perlu ke pejabat, sekolah dan masih perlu makan/minum. Tiada cuti khas tanpa rekod yang diberikan untuk membolehkan kami 'lari' ke kawasan yang tidak terjejas untuk meneruskan kehidupan dengan bersih dan selesa. Tiada pampasan yang diberikan untuk kami check-in di mana-mana lokasi yang tidak terjejas. Tiada pengecualian yang diberikan untuk anak-anak tidak memakai pakaian seragam sekolah dan kami berpakaian kasual ke pejabat. Tiada bantuan yang diberikan untuk kami membeli air minuman dalam botol yang bukan sahaja digunakan untuk minum, tetapi juga berwudhuk dan kebersihan diri. Paling membimbangkan bukan sahaja sukar untuk memasak, malahan kedai-kedai makan (termasuk kantin sekolah) juga banyak yang tidak beroperasi kerana ketiadaan air. Jadinya kami bukan sahaja kotor, busuk malahan dahaga dan mungkin kelaparan apabila perkara ini berlanjutan. 

Mujur keluarga kami kecil sahaja. Kebanyakan masa di pejabat (masih ada simpanan air) dan sekolah (masih perlu dibekalkan air untuk mencuci) tetapi simpanan air yang ada tidak boleh bertahan lama. Mujur juga rumah mentua tidak terlalu jauh dan masih ada bekalan air ~ sempat anak-anak tumpang mandi, makan dan dapatlah suami angkut 2 trip air untuk top-up bekalan di rumah.

Alhamdulillah, masih dapat sediakan makan malam dalam keadaan amat terhad

Bagaimana pula halnya dengan golongan yang lebih memerlukan ~ warga emas yang tiada upaya untuk mengangkut air, pesakit terlantar, mereka yang berhadapan dengan ujian seperti kematian ahli keluarga, majlis yang telah dirancang awal, mereka yang kesempitan wang untuk membeli makanan siap bermasak dan sebagainya? Pili awam yang disediakan pun terletak hampir 16 km dari kediaman kami. 

Walau apa juga sebab dan alasan yang diberikan, persoalan utama adalah pengguna perlu diberikan penjelasan tentang tindakan yang telah diambil bagi membendung perkara ini daripada berulang. Pengguna mengharapkan tindakan proaktif dan bukannya reaktif. Bukan hanya bila dikenalpasti terdapat pencemaran baru dicari puncanya. Bukan sekadar selepas berlaku insiden pencemaran baru disiasat dan dibuat serbuan ke premis tersebut. Sekadar laporan dan gambar pengusaha tidak bertanggungjawab tersebut ditahan bukan penyelesaian mutlak. 

Kami harapkan operasi bersepadu besar-besaran dibuat untuk mengenalpasti kilang, kawasan ternakan atau premis sama ada haram atau sah yang terletak terlalu hampir dengan sumber air bersih dan berpotensi untuk mencemarkannya. Kami harapkan digunakan teknologi lebih canggih bagi mengawasi kawasan sumber air daripada dicemari, dicerobohi dan sebagainya. Kami perlukan tindakan proaktif dan bukannya reaktif.

We're living in 2020 and still struggling with basic human needs.

Gangguan bekalan air ketika pandemik COVID-19 semakin menular memang satu tragedi.


#TragediOktober
#AirohAir
#8

Comments