Tentang Sesuatu

Beberapa minggu lepas ada ujian yang datang menimpa. Biasalah, kalau namanya hidup, mana pernah berhenti daripada diuji. Cuma ujian kali ini datang dalam bentuk yang amat berbeza – diri ini terpalit dan terbelenggu dengan suatu kerumitan yang bukan ditimbulkan sendiri, bukan dicari, di luar pengetahuan dan perkara yang berlaku itu tidak pernah terfikirkan.

Butiran insiden itu tak perlulah dihuraikan di sini kerana agak peribadi. Cuma sebagai seorang yang agak berwaspada dan tidak keterlaluan boleh dikatakan punya daya firasat atau instinct yang kuat, bila terjadinya perkara ini, soalannya ialah “Kenapa?”

 

Tipulah jika dikata hati ini tidak kecewa. Tipulah jika dikata tak menyumpah dalam hati. Perasaan marah, geram, keliru, risau semua bersatu. Apa yang dirasa di jiwa dan yang membelenggu di benak tak terluah dengan kata-kata. Lebih pedih sebab diri ini tiada daya untuk mengubah apatah lagi menghalangnya.


Dalam pada melayan perasaan tu, tiba-tiba timbul dalam jiwa dan fikiran - mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan itu adalah ilham untuk mencari sepotong ayat Al-Quran ini tentang "tidak akan berlaku sesuatu itu tanpa izin yang Maha Kuasa". Benarlah jika kita mencari, akan berjumpa:



Bila mendengarnya bunyi sangat cliche. Tetapi bila diri sendiri mengalami, baru dirasakan betapa besarnya nikmat redha. SubhanAllah. Besarnya kekuasaanNya, walaupun masalah tersebut masih perlu hadapi dan perlu diselesaikan, tetapi perasaan ralat, terkilan, persoalan kenapa – mengapa – bagaimana tu terhapus sama sekali dalam jiwa ini. 


Barulah diri ini sedar bahawasanya yang membelenggu jiwa itu bukanlah masalah atau ujian itu sendiri – tetapi hati dan fikiran yang sentiasa mempertikaikan. Tambah pula dengan bisikan kesukaan Syaitan "Kalaulah itu, kalaulah ini"...


Mungkin ujian ini tanda dalam jiwa ini telah wujud segunung keangkuhan. Merasakan diri ini bijak dan boleh menelah 1001 perkara dan mengelak kemudaratan. Betapa besarnya ego dan kesombongan tetapi sewaspada mana pun kita, sebijak mana pun kita, sehebat mana pun kita, kudrat dan ikhtiar kita hanya sehingga usaha. Yang menentukan, yang punya kuasa mutlak hanyalah DIA.


 KUN FAYAKUN

Begitulah jika Allah mengkehendaki, maka akan terjadi segala sesuatu.


Maka disimpan perkara ini di kotak fikiran dan dikongsikan. Agar diri ini sentiasa beringat dan dijadikan sempadan. Betapa luasnya kasih sayangNya, setelah datang ujian, setelah hati terima dengan keredhaan, diberikan pula selautan kemudahan. Didatangkan pula buah fikiran untuk mengatasi keadaan. Dikurniakan pula bantuan menerusi insan yang penuh ehsan. Walaupun tetap memerlukan pengorbanan, namun ujian ini adalah semanis-manis iman. 


#LifeLesson

Comments