Jalan-Jalan Jelebu
Kalau kono komat jolobu
Tak mati badan menghasai
Gurindam dulu-dulu jangan ponah dipotikai
Tak tahu tanyo dulu jangan goma memandai-mandai
-Gadis Jolobu, 2015-
Hebat betul daerah
Jelebu, hinggakan ada lagu khas untuknya. Catchy pula
tu, sampaikan kalau sebut Jelebu sekarang terus rasa nak menyanyi lagu tu, sama
macam lagu Rembau Most Wanted. Genius marketing! Disebabkan dah quote lagu
awal-awal, maka tema Cuti-cuti Malaysia kita ialah lagu ya 😄
Pemergian kami
ke Jelebu pada 11 dan 12 Januari 2023 lalu bukanlah bertujuan untuk bercuti sebenarnya
tetapi berkaitan dengan urusan persekolahan Kakak.
Jika diikutkan jarak perjalanan tidaklah terlalu jauh letaknya Jelebu dari Putrajaya, 95 km atau
lebih kurang 1 jam setengah perjalanan jika melalui LEKAS. Tetapi memandangkan
ujian Kakak bermula seawal 8 pagi, maka kami buat keputusan untuk bermalam sahaja di
sana.
🎵 Pusara
Gembira di Lebuh Raya
Alang-alang dah berjalan
tu, kami pun ambil peluang untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Berpandukan
Google Maps, di pertengahan perjalanan, kami dihalakan ke Lebuhraya Temiang-Pantai.
Setelah masuk ke jalan tersebut, mula rasa tak berapa yakin kerana nampak seperti
laluan ke projek perumahan baharu. Siap u-turn sebab ingat dah salah masuk
simpang. Rupa-rupanya memang betul ~ teruskan sahaja perjalanan kerana memang
akan tembus ke destinasi. Setelah hilang panik kerana ingat salah jalan, timbul
pula rasa kagum kerana disajikan dengan pemandangan indah lagi berkabus,
walaupun hampir masuk tengah hari. Lepas dah banyak ambil gambar, barulah teringat inilah highway
viral yang dikatakan persis permandangan di overseas tu.
Jelebu ialah daerah paling utara di Negeri Sembilan, dengan keadaan muka bumi berbukit-bukau kerana terletak di unjuran penghujung Banjaran Titiwangsa. Agaknya sebab tu cuaca di sini masih berkabus walaupun dah hampir tengah hari. Satu lagi yang kami perasan bila balik ke Putrajaya, badan terasa bahang/panas seperti keadaan jika lepas turun dari Cameroh Highlands/atau tempat sejuk lain. Mungkin kerana suhu/kelembapan cuaca di sana.
Pusat aktiviti Jelebu letaknya di pekan Kuala Klawang ~ pekan kecil dan masih dipenuhi dengan bangunan-bangunan kedai lama tapi banyaknya tidak lagi beroperasi. Stesen bas pun sepi, katanya sehari ada 4 trip bas dari sini ke bandar Seremban. Selain itu, ada nampak KFC, Mr DIY, 7E, 99 Speed Mart dan surprisingly Subway. Kewujudan cawangan jenama tersebut di mana-mana pekan pada saya merupakan penanda aras mudah tentang tahap kemajuan sesuatu tempat. Oh ya, tiada supermarket di sini walaupun di sesetengah tempat di luar bandar kebiasaannya ada TF Value Mart.
🎵 Hotel
California Klawangfornia
Disebabkan matlamat adalah untuk selesaikan urusan Kakak, maka hotel dipilih ialah Hotel Rasa Sayang Artisan Inn, Jelebu. Nama kemain hebat uols, tetapi hakikatnya hotel shop lot sahaja yang amat basic, tapi functional sebab kita nak tempat untuk tidur sahaja. Disebabkan saiz bilik yang kompak ~ dapur, penapis air dan tempat menggosok disediakan di common area. Macam homestay pula. Harga bilik reasonable dan hanya 2 minit perjalanan ke MRSM Kuala Klawang. Semasa ronda-ronda pekan tu perasan ada hotel lain – Hotel Merryland (shop lot juga tapi nampak di luar lebih besar) dan Hotel Sri Kuala Klawang yang nampak seperti proper hotel tapi vibe rest house Kerajaan tetapi kedudukan paling jauh dari MRSM.
🎵 Lauk Ku
Cukup Masin
Sesampai sahaja kami di Kuala Klawang dan selepas tinjau lokasi hotel dan MRSM, kami cari tempat makan tengah hari. Puas Google sebelum ni tak jumpa tempat yang recommended untuk lunch. Jadinya, bila nampak ada kedai makan di sebelah MRSM tu, kami terus tergerak untuk singgah. Alhamdulillah memang hidden gem. Lauk pauk masakan kampung memang sedap dan kena dengan selera kami. Berselera sungguh sampaikan dah habis nasi dalam pinggan, sambung meratah ikan tilapia berlado. Nama kedai Kak Long Familis Cafeteria, terletak betul-betul sebelah MRSM – Arked Ladang Jelebu to be exact. Memang highly recommended.
Plan asal nak dinner makan satay tulang yang terkenal di sini, tapi tak berkesempatan. Selain itu, kami dapat tahu tahu dari pengunjung lain di hotel yang kebanyakan kedai makan di sini tutup jam 8 malam. Jadinya, cepat-cepat lepas Maghrib pergi cari tempat untuk dinner. Ada jumpa satu restoran masakan Siam di pekan. Rasa masakan biasa-biasa sahaja, tapi harga ok - RM99 set untuk 7 orang makan. Menu disajikan siakap 3 rasa, tomyam seafood, ayam (masak apa tak ingat. paprik rasanya), kailan ikan masin, telur bistik, 1 jug air dan 2 bekas nasi.
Esoknya, sebelum balik kami singgah makan tengah hari di Kedai Makan Ikan Sungai Kak Nor, terletak di tepi jalan menuju ke pekan. Menu terkenal di sini masak lemak ikan baung. Ada juga lauk ikan patin, tilapia, lampam, keli dan lain-lain. Sedap juga masakannya, tempat pun selesa dan parking luas.
🎵 Durian Dah Berbunga
Lepas makan tengah hari, kami cari pula desserts. Jumpa satu warung cendol, tapi tak ada tempat duduk, jadinya kami berpatah balik keluar dari pekan dan cari gerai Durian Jelebu yang ternampak dalam perjalanan awalnya tadi. Ambil durian kacuk (kampung + D24) dan D24 saja – tapi rasanya memang teramat sedap. Puas makan dalam remang tengah hari, orang sekitar pun pelik agaknya tengok pukul 1 makan durian 😂. Cuma selalunya tempat jual/makan durian lain ada sediakan mineral water kecil, di sini tiada disediakan. Punyalah fall in love dengan durian Jelebu sampai esoknya sebelum balik pun kami repeat makan durian + pakej beli petai (3 ikat RM5 je uols, Pasar Tani Putrajaya hari tu RM10-15) sekali. Kali ni memang well prepared - siap bawa turun mineral water sekali.
Sebelah gerai Durian Jelebu tu ada gerai menjual bahulu, dodol dan wajik. Pijoi Bahulu Jelebu. Baulu panas-panas, bakar di situ je dan kita boleh pilih sendiri dan letak dalam bekas ~ 45 biji RM20. Sedap dan saiz pun comel, senang nak ngap.
Perut dah kenyang, kami sambung jalan-jalan sambil tunggu waktu untuk check-in hotel. Destinasi dituju – Muzium Adat. Bangunan dari luar nampak agak lama, tetapi dalamnya moden, bersih dan teratur. Muzium ini dibuka pada tahun 2008 dan menempatkan maklumat mengenai adat resam pelbagai kaum di Malaysia terutamanya adat pepatih di Negeri Sembilan. Walaupun pamerannya ringkas tapi padat dengan maklumat dan sesuai untuk memberi kefahaman asas kepada para pelajar khasnya. Masuk percuma pula tu.
🎵 Budi Setahun Segunung Intan
Aktiviti hari
berikutnya sementara tunggu Kakak selesai ujian, kami meneroka ke kawasan lebih
jauh ~ Laman Padi, Kampung Gagu, Jelebu. Masalahnya bila rujuk Google Maps arah
dituju sampai ke Kg. Gugu sahaja, maka meragaulah kami mencari destinasi sebenar
yang dituju. Sekali lagi, yakin sahaja teruskan perjalanan masuk jauh agak ke
dalam kawasan kampung dan akhirnya ternampaklah tersergam indah rumah tradisional
ini dari jalan utama.
Rumah Gadang Budi merupakan rumah tradisional Minangkabau ini dikatakan berusia lebih seratus tahun dan telah dipindahkan daripada lokasi asal di Seri Menanti ke Jelebu. Menariknya selain senibina bumbung tipikal Minangkabau, rumah ini dibina tanpa menggunakan paku. Daripada maklumat petugas yang kebetulan sedang membuat kerja pembaikan di situ, yang saya faham rumah ini ditempatkan di tanah persendirian milik seorang pemimpin veteran yang juga merupakan anak tempatan. Mungkin kerana itu lokasi ini tidak dikomersilkan sepenuhnya (tiada bayaran masuk, tiada papan tanda, tiada lawatan ke dalam rumah) kerana rumah ini mungkin milik persendirian dan matlamat utama untuk memastikan warisan ini dipulihara dengan sebaiknya.
Itu sahajalah aktiviti yang sempat kami lakukan semasa kunjungan 2 hari 1 malam ke Jelebu. Ada 2 tempat makan/minum yang tak berkesempatan untuk kami pergi iaitu Satay Tulang ABM dan Gerai Air Akar Kayu (tutup masa tu). Oh ya, dalam perjalanan ke sana juga ada Taman Eko Rimba Jeram Toi dan Latar Kijang. Beberapa tahun lepas pernah kami ke Jeram Toi untuk mandi air terjun, best! Tapi kunjunga kali ni tak sesuai untuk selitkan aktiviti begitu.
Kesimpulannya, sesekali seronok juga menjelajah ke kawasan luar bandar seperti Jelebu. Udara bersih, kehidupan laid back ~ sampai pening kepala tengok banyak kereta atas jalan lepas keluar dari kawasan tu.
#02of2023
#CutiCutiMalaysia
Comments